Satu lagi artikel yang berkenaan kanser payudara,...Ini membuktikan, kanser payudara bukan hanya menyerang kaum Hawa malah kaum Adam juga akan menjadi mangsa kanser ini. Malah lebih teruk.
KOTA BHARU 17 Okt. - Golongan lelaki di
negara ini diingatkan supaya tidak memandang remeh penyakit kanser payu
dara kerana mereka juga berisiko diserang penyakit itu bahkan
implikasinya lebih teruk berbanding wanita.
Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payudara
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Nik Munirah Nik Mahdi
berkata, kanser payudara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih
berbahaya kerana sel kanser itu lebih agresif berbanding sel kanser
yang menyerang golongan wanita.
"Beranggapan kanser payudara hanya
menyerang wanita menyebabkan ramai lelaki yang masih memandang remeh
perkara ini sedangkan mereka juga sebenarnya berisiko diserang penyakit
yang sama.
"Mengikut kajian Majlis Kanser Nasional,
dari 1999 hingga 2006 bagi negeri ini, seramai enam lelaki telah
meninggal dunia akibat penyakit itu bahkan kebanyakan kanser payudara
yang menyerang lelaki kesannya jauh lebih buruk kerana kanser berkenaan
akan menular kepada organ lain dengan cepat sehingga membawa
kematian," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran laman
blog bagi Pusat Sumber Kanser Payudara oleh Pengerusi Lembaga Pengarah
USM, Prof Emeritus Datuk Dr. M. Zawawi Ismail di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, pada tahun lalu
satu lagi kematian dicatatkan di negeri ini membabitkan lelaki
menghidap penyakit kanser payudara.
Justeru, katanya, sebagaimana wanita,
lelaki juga perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengesan
keganjilan seumpama benjolan terutama di puting payudara atau
pembesaran sebelah payudara secara tiba-tiba.
Dr. Nik Munirah yang juga Pakar
Radiologi berkata, lelaki di Kelantan bertuah kerana mempunyai tempat
khas untuk membuat rujukan mengenai penyakit itu iaitu dengan
mengunjungi Pusat Sumber Kanser Payudara di HUSM.
Katanya, pusat sumber itu yang dilancarkan pada Februari lalu diwujudkan untuk kedua-dua golongan iaitu wanita dan lelaki.
"Pusat Sumber Kanser Payudara adalah
untuk semua golongan, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan mahupun
kaunseling mengenai penyakit itu boleh hadir pada bila-bila masa waktu
bekerja," katanya.
Katanya, sehingga kini pusat berkenaan
mendapat sambutan memberangsangkan tetapi masih ramai yang tidak tahu
mengenai kewujudan pusat berkenaan yang bersifat mesra pesakit.
Pusat sumber berkenaan yang dapat
dimanfaatkan pesakit kanser payudara dan keluarga pesakit di seluruh
Pantai Timur dan Semenanjung Malaysia itu selain membantu memberi
rawatan dan penjagaan selepas pembedahan, ia juga dilengkapi dengan
beberapa unit komputer dengan kemudahan capaian jalur lebar untuk
kemudahan pesakit mencari maklumat tentang kanser itu.
Selain itu, turut disediakan mini perpustakaan yang memuatkan buku ilmuan mengenai kanser payudara.
Dr. Nik Munirah berkata, maklumat lanjut mengenai pusat sumber berkenaan boleh dilayari melalui blog http://ps1husm.blogspot. com. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment